KISAH KEJAYAAN: Nur Hidayah Binti Ahmad

UMUR: 35 TAHUN

Latar belakang

Puan Nur Hidayah binti Ahmad adalah seorang surirumah sepenuh masa dan aktif menyertai pelbagai aktiviti dan program melibatkan wanita. Beliau dikenali sebagai pembuat dan penjual tapai pulut, tapai ubi dan ayam percik di sekitar Felda Lui Selatan.

Beliau mengikuti suami berpindah dari Seremban ke Felda Lui Selatan sekitar tahun 2017. Menyedari peluang pekerjaan tidaklah meluas lantaran tinggal di kawasan Felda, beliau mula mempelajari cara untuk membuat tapai pulut dan tapai ubi pada permulaannya daripada guru yang berpengalaman. Setelah beberapa kali percubaan, beliau mula yakin untuk menjual dan memasarkan tapai ke sekitar Felda Lui Selatan terlebih dahulu.   

Sebelum penggunaan ICT / penglibatan PEDi

Puan Nur Hidayah memulakan perniagaan tapai dengan modal sendiri tanpa bantuan mana-mana agensi. Dengan kekangan modal, Puan Nur Hidayah mengalami masalah untuk membeli bahan mentah dan peralatan lain. Beliau meminta pihak PEDi Felda Lui Selatan untuk menguruskan beberapa permohonan bantuan niaga seperti Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS), Baitulmal, agensi TEKUN Nasional dan pihak MARA. Petugas membantu Puan Nur Hidayah untuk melengkapkan semua borang secara manual dan secara dalam talian.

Selain itu, Puan Nur Hidayah juga diberikan tunjuk ajar untuk membuat pembelian dan memuat turun MyCTOS Score Report secara dalam talian. Laporan kewangan ini menunjukkan prestasi kewangan dan segala pinjaman sebelumnya yang dilakukan oleh Puan Nur Hidayah. Beliau juga diberikan tunjuk ajar untuk mengemaskini aplikasi Facebook dan menambah pengikut baru di Tiktok untuk tujuan promosi dan pengiklanan produk.

Selepas penggunaan ICT/ penglibatan PEDi

Hasil daripada bantuan petugas PEDi Felda Lui Selatan, Puan Nur Hidayah akhirnya berjaya mendapatkan beberapa bantuan seperti Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) dan Baitulmal manakala bantuan daripada pihak MARA masih di dalam proses. Bantuan ini sedikit sebanyak membantu Puan Nur Hidayah untuk menambah peralatan niaga dan melebarkan tapak jualan yang beroperasi di kediamannya.

Beliau juga memperoleh ilmu dan pengetahuan dalam asas penggunaan internet. Penggunaan media sosial seperti Whatsapp, Facebook dan TikTok dimaksimumkan supaya dapat menambah pelanggan baru dari dalam dan luar daerah Jempol. Puan Nur Hidayah juga merupakan seorang vendor dan menjual tapai di Dapo Kueh, Bandar Seri Jempol. Pada bulan Ramadan, beliau membuka gerai menjual ayam percik resepi turun temurun keluarga dan mendapat sambutan yang baik.

Sebelum ini, puan Nur Hidayah berjaya memperoleh pendapatan sebanyak RM300 sahaja sebulan. Kini, pendapatan beliau boleh mencecah sehingga RM1300 sebulan hasil daripada jualan tapai daripada tempahan pelanggan dan stok vendor

hidayah  

Caption: Gambar menunjukkan Puan Nur Hidayah (berkaca mata) sedang mengikuti bengkel asas keusahawanan anjuran PEDi Felda Lui Selatan.