TERATAK ZA'BA

collage 2017 10 11 3

 

SEJARAH PENUBUHAN

Hasrat untuk menubuhkan memorial khas untuk Pendeta Za'ba telah lama berada dalam pemikiran Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Dato' Seri Utama Tan Sri A. Samad Idris. Bagaimanapun dalam kesibukan waktu, idea itu tertinggal begitu sahaja tetapi dibangkitkan semula pada tahun 1995 sempena satu abad kelahiran Za'ba. Hasrat murni itu disampaikan kepada Y.A.B. Menteri Besar, Dato' Seri Utama Tan Sri Haji Mohd. Isa bin Dato' Haji Abdul Samad dan 'gayung dihulur' disambut baik oleh pucuk pimpinan negeri yang cukup dikenali kerana keprihatinannya terhadap sumbangan tokoh berjasa.


Selain penglibatan langsung Dato' Haji Lillah Haji Yassin (Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan), Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri; usaha ini turut mendapat sokongan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Maktab Melayu Kuala Kangsar, Dewan Bahasa dan Pustaka, Arkib Negara Malaysia, Jabatan Muzium dan Antikuiti serta Jabatan Kerja Raya yang dipertanggungjawabkan mengurus pembinaan bangunan yang diberi nama Teratak Za'ba ini.


Akhirnya Teratak Za'ba telah berjaya disiapkan dan telah dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato' Seri Utama Tan Sri Hj. Mohd Isa bin Dato' Hj. Abdul Samad pada 5 Februari 2001. Bermula pada tarikh itu Teratak Za'ba telah dibuka kepada orang ramai sebagai salah satu produk dan kawasan pelancongan yang berunsurkan pendidikan di Negeri Sembilan. Bahan utama bangunan ini diperbuat daripada Kayu Cengkal (penak) dan reka bentuknya masih bercirikan Rumah Tradisional Negeri Sembilan. Antara ciri-ciri pertukangan melayu di bangunan ini ialah Tupai-tupai, Tabir Layar, Kisi-kisi, Anjung Serambi, pelantar dan penyambungannya menggunakan tanggam dan pasak.

Pameran Teratak Za'ba

BIBLIOGRAFI

Di ruangan ini pelawat boleh membaca sendiri perjalanan hidup Za'ba dengan lebih terperinci mengikut susunan tahun. Dari beliau baru dilahirkan, memasuki alam persekolahan, pekerjaan hinggalah beliau menghembuskan nafas yang terakhir.

Za'ba atau Zainal Abidin bin Ahmad bin Ibrahim bin Hj Ahmad bin Hj Amil telah dilahirkan pada 16 September 1895 di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan.

PERIBADI

Ruang ini memaparkan ruang peribadi dan minat Za'ba dalam bidang penulisan dan seni. Beliau banyak menghasilkan buku-buku bacaan ketika bertugas sebagai penterjemah di pejabat karang-mengarang MPSI, Tanjung Malim. Mesin taip yang ada adalah contoh mesin taip yang digunakan semasa bertugas di sana. Peti nyanyi yang ada menunjukkan bahawa Za'ba amat meminati seni.

Meja dan kerusi dari kayu asli adalah yang digunakan oleh Za'ba. Ruang ini cukup segar dan memang sesuai dengan identitinya sebagai ruang peribadi Za'ba.

PAKAIAN

Sudut ini memaparkan pakaian-pakaian pada zaman PendetaƂ Za'ba dahulu. Dari segi berpakaian, Za'ba merupakan seorang yang ringkas. Beliau lebih memandang kepada keselesaan, tetapi bagi beliau berpakaian mempunyai dua aspek penting. Yang pertama ialah pakaian di kepala dan kedua ialah pakaian di badan.

Yang dimaksudkan dengan pakaian di kepala ialah bagi seorang lelaki melayu ia haruslah memakai songkok apabila memakai baju melayu, apabila ia hendak sembahyang dan semasa makan. Bagi seorang wanita Islam pula, setiap helai rambut hendaklah ditutup dengan tudung sesuai dengan tuntutan agama. Pakaian pada badan pula ialah pakaian yang dianggap bersopan santun dan melambangkan adat orang timur. Pakaian tersebut pada dasarnya hendaklah menutup aurat sesuai dengan bentuk dan saiz badan.

Nyata Za'ba juga gemar mengenakan baju putih ala Inggeris terutamanya pakaian begini memang menjadi pakaian rasmi. Ini menunjukkan bahawa pengaruh Inggeris merupakan satu faktor utama dalam setiap aspek khasnya pakaian.

SUDUT UMUM

Ruangan ini mempamerkan barangan antik dan dijadikan contoh barangan yang digunakan oleh Pendeta Za'ba di mana barang-barang ini adalah barangan antik yang wujud sezaman dengan Za'ba. Antaranya adalah jam dinding, jam tangan berkunci, mesin taip, almari kayu, cermin mata dan tongkat. Semua barang-barang ini masih boleh digunakan sehingga ke hari ini.

Memang tidak dinafikan barang-barang yang dihasilkan pada masa dahulu mempunyai nilai ketahanan yang tinggi kerana bahan buatannya adalah asli dan tidak banyak bahan campuran. Almari kayu yang dipertontonkan adalah almari yang digunakan untuk menyimpan buku-buku oleh Za'ba suatu ketika dahulu. Ruangan ini agak terhad namun rekabentuk dalamannya cukup untuk menggambarkan suasana rumah Za'ba pada zaman dahulu.

MULTIMEDIA DAN PERPUSTAKAAN

Turut disediakan di ruangan ini adalah bahan-bahan multimedia seperti risalah dan cakera padat mengenai kehidupan, aktiviti penulisan Za'ba dan juga buku-buku mengenai Za'ba. Di sudut ini pengunjung boleh menggunakan kiosk untuk melihat maklumat-maklumat mengenai Za'ba dan melalui VCD yang dihasilkan. Selain dari itu, pengunjung juga boleh mendapatkan maklumat melalui pembacaan buku yang dipamerkan. Antara buku-buku yang boleh diperolehi adalah Gema Serunai Hati 6 dan Pengkisahan Sejarah Za'ba. Manakala VCD yang dihasilkan adalah Permata Di Bumi Perpatih dan Bahasa dan Sastera.

Alamat dan Direktori:-
Teratak Za'ba
Kg. Bukit Kerdas
Batu Kikir, Jempol
Tel/Fax : 06-498 5193

 

SUMBER:http://lmns.ns.gov.my/en/index.php/2012-09-28-00-22-39/2012-10-03-01-06-37/teratak-za-ba