20140806 1537161

Felda Lui Selatan terletak di mukim Serting Ilir dalam daerah Jempol, Negeri Sembilan Darul Khusus. Penempatan ini mula dimajukan pada tahun 1977/1978 oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA). Penubuhannya adalah sejajar dengan matlamat kerajaan bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk memiliki tanah sendiri dan memperoleh pendapatan yang lebih baik.

Para peneroka mula mendiami penempatan ini sejak tahun 1980-an. Tanah rancangan di sini terbahagi kepada dua iaitu Felda Lui Selatan 1 dan Felda Lui Selatan 2. Luas keliling keseluruhan kawasan ini ialah 2165.00 hektar. Setiap peneroka diberi kawasan 10 ekar tanah untuk tanaman getah dan 0.25 ekar untuk tapak rumah.

Felda Lui Selatan menumpukan kegiatannya dalam pembangunan kebun getah dan ladang kelapa sawit sebagai tanaman utama. Segala hal pentadbiran berkaitan Felda Lui Selatan dirujuk kepada pejabat Felda Wilayah Raja Alias. Majoriti penduduk di sini merupakan orang Melayu manakala orang India ialah kaum minoriti. Kaum Cina pula tidak mendiami kawasan ini. Tanah rancangan yang berhampiran dengan Felda Lui Selatan ialah Felda Lui Barat, Felda Lui Muda, Felda Lui Timur dan juga Felda Sungai Lui.