KISAH KEJAYAAN: ROSHAYATI BINTI ATAN
UMUR: 60 TAHUN
Latar belakang
Puan Roshayati binti Atan merupakan peneroka dan menetap di Felda Lui Selatan 2. Beliau kini telah berusia 60 tahun. Beliau telah mendaftarkan diri sebagai ahli NADI Felda Lui Selatan sejak tahun 2015 lagi. Meskipun telah berusia, Puan Roshayati masih lagi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan. Beliau turut diberikan tanggungjawab untuk menyandang jawatan sebagai bendahari Koperasi Felda Lui Selatan 2 Jempol Berhad iaitu sebuah koperasi yang dianggotai oleh peneroka dan pemimpin di Felda Lui Selatan 2.
Kisah puan Roshayati diangkat dalam kisah kejayaan NADI Felda Lui Selatan bagi suku pertama tahun 2024 adalah kerana kesungguhan dan komitmen beliau selaku bendahari dalam sebuah organisasi yang bertanggungjawab menyelaras hal ehwal koperasi bagi pihak peneroka.
Sebelum penggunaan ICT / penglibatan PEDi
Puan Roshayati pada mulanya merupakan ahli biasa bagi lembaga koperasi. Beliau dilantik sebagai bendahari bermula pada tahun 2023. Tugas beliau sebagai bendahari boleh dianggap mencabar kerana perlu mengambil tanggungjawab menguruskan kewangan koperasi yang bermasalah daripada pentadbiran yang lama. Disini, beliau menyedari bahawa tanpa penggunaan internet dan komputer, tugasan yang perlu dilakukan adalah lebih mencabar.
Justeru, beliau mula hadir ke NADI Felda Lui Selatan dan meminta petugas untuk memberi tunjuk ajar menggunakan komputer. Pada permulaan, beliau mempelajari selok-belok penggunaan peralatan komputer. Selepas itu, beliau mempelajari cara menggunakan perisian Microsoft Office terutamanya Microsoft Office Word dan Excel. Kedua-dua perisian ini sangat membantu Puan Roshayati menyediakan laporan kewangan koperasi.
Selain itu, Puan Roshayati juga turut menerima tunjuk ajar untuk mengikuti modul pembelajaran CIDB secara dalam talian sebagai sebahagian syarat-syarat sebelum mendapatkan sijil CIDB bagi pihak koperasi. Puan Roshayati juga berpeluang membuat permohonan sijil CIDB secara dalam talian. Beliau dikehendaki mengisi segala butiran berkaitan koperasi di dalam laman sesawang CIDB dan membuat pembayaran terus secara dalam talian.
Selaku bendahari, Puan Roshayati juga bertanggungjawab menyelia dan menandatangani segala permohonan keluar dan masuk wang ke dalam akaun koperasi. Di sini petugas telah memberi tunjuk ajar menggunakan akaun semasa Maybank di aplikasi MAE. Tujuannya adalah untuk memudahkan sebarang transaksi dilakukan seterusnya memudahkan Puan Roshayati memeriksa baki kewangan yang berakhir setiap hujung bulan.
Selepas penggunaan ICT/ penglibatan PEDi
Selepas mengikuti beberapa siri bengkel ICT dan keusahawanan anjuran NADI Felda Lui Selatan, puan Roshayati boleh berbangga kerana sudah mampu mengendalikan penggunaan peralatan komputer dengan cekap. Beliau juga dapat menambah pengetahuan dan kemahiran dalam penggunaan aplikasi Microsoft Office untuk memudahkan urusan penyediaan laporan koperasi dan sebagainya.
Tambahan lagi, beliau turut berjaya melengkapkan modul pembelajaran dalam talian CIDB dan berjaya lulus dalam peperiksaan khas yang diadakan di CIDB cawangan negeri Melaka. Hal ini membolehkan pihak koperasi memperoleh sijil penuh daripada CIDB. Sijil ini amat diperlukan oleh pihak koperasi untuk memohon tender dan kerja-kerja perolehan bagi membantu menambah pendapatan koperasi.
Sebelum ini, pihak koperasi hanya memperoleh pendapatan sekitar RM2000 sebulan. Kini, pendapatan koperasi meningkat kepada RM8000 sebulan.
Caption: Muhammad Aiman Haries (tengah) sering mengikuti bengkel STEM-IoT di PEDi Felda Lui Selatan untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti yang bermanfaat.