KISAH KEJAYAAN: SITI NOOR AMALINA BINTI AHMAD
UMUR: 37 TAHUN
Latar belakang
Puan Siti Noor Amalina merupakan ibu kepada 3 orang anak lelaki yang sudah meningkat dewasa. Beliau menetap bersama suami dan anaknya di perumahan staf Felda Lui Selatan 2. Puan Amalina adalah ahli berdaftar NADI Felda Lui Selatan sejak tahun 2018.
Puan Amalina meneruskan legasi resipi warisan keluarga iaitu pembuatan dodol cair secara tradisional. Resipi ini diturunkan oleh ibunya sendiri dan Puan Amalina mengambil tanggungjawab bersama ahli keluarganya yang lain untuk meneruskan jualan dodol cair disamping jeli kelapa yang diusahakannya. Selain itu, beliau turut membuka sebuah gerai di hadapan rumah dengan menjual pelbagai jenis burger.
Sebelum penggunaan ICT / penglibatan PEDi
Puan Amalina pada mulanya adalah seorang usahawan kecil-kecilan dan memulakan operasi niaga daripada rumah. Sejak suaminya mengalami kemalangan pada tahun 2020, puan Amalina berusaha keras menambah pendapatan untuk menampung kos perbelanjaan keluarga. Puan Amalina meminta bantuan petugas NADI Felda Lui Selatan untuk mendaftar perniagaan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Selepas itu, puan Amalina juga ada memohon beberapa geran dan bantuan perniagaan secara offline atau dalam talian misalnya bantuan TEKUN, Amanah Ikhtiar Malaysia, bantuan niaga daripada waki rakyat dan Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS). Semua bantuan perniagaan ini sangat berguna untuk menambah modal dan membaik pulih gerai burgernya.
Selain itu, puan Amalina juga ada mempelajari cara untuk mengedit logo produk dodolnya menerusi laman sesawang www.canva.com. Latihan ini memberi input kepada peserta untuk menghasilkan logo produk yang cantik dan informatif
Selepas penggunaan ICT/ penglibatan PEDi
Hasil kerjasama antara puan Amalina dan petugas NADI Felda Lui Selatan, beliau berjaya memperoleh beberapa bantuan antaranya daripada wakil rakyat Parlimen Jelebu dan geran sebanyak RM3000 melalui TUNS. Puan Amalina berasa sangat bersyukur kerana dengan geran ini beliau dapat membaik pulih dan menambah perkakasan perniagaan yang diperlukan.
Selain itu, tempahan dodol cair dan jeli kelapa beliau juga mencatat kenaikan yang memberangsangkan apabila menerima tempahan hampir setiap minggu. Beliau turut menerima tempahan dari luar kawasan Lui Selatan untuk produk dodol cair.
Sebelum ini, puan Amalina boleh menjana pendapatan sebanyak RM400 sebulan. Kini, pendapatan beliau boleh mencecah sehingga RM1500 bergantung kepada tempahan yang diterima.
Caption: Promosi produk dilakukan secara konsisten oleh puan Amalina di media sosial peribadinya.