KISAH KEJAYAAN: ZAZAWAHEDA BINTI JAAFAR
UMUR: TAHUN
Latar belakang
Puan Zazawaheda binti Jaffar merupakan penduduk tetap di Felda Lui Selatan 2. Suami beliau bekerja kampung dan memiliki 2 orang anak yang bersekolah di SK Felda Lui Selatan dan SMK Lui Barat. Puan Zazawaheda adalah ahli berdaftar NADI Felda Lui Selatan sejak tahun 2018 lagi.
Puan Zazawaheda mempunyai kemahiran memasak dan membuat kuih-muih kampung seperti donat, puteri ayu dan sebagainya. Bermula dengan minat kemudian bercambah menjadi sumber pendapatan keluarga.
Sebelum penggunaan ICT / penglibatan PEDi
Puan Zazawaheda banyak mempelajari teknik pembuatan kuih-muih daripada pengamatan dan pengalaman sendiri. Bagaimanapun, pada tahun 2020 iaitu sekitar pandemik Covid-19 berlaku, beliau mula berjinak-jinak mempelajari kaedah pembuatan roti dengan tujuan untuk dijual. Hal ini disebabkan kekangan kewangan yang dihadapi membuatkan beliau tekad untuk menjual produk roti daripada rumah sahaja.
Oleh hal yang demikian, beliau meminta bantuan petugas NADI Felda Lui Selatan untuk belajar cara mendaftar dalam kelas jarak jauh pembuatan roti secara dalam talian. Banyak resipi yang telah dipelajari oleh puan Zazawaheda antaranya roti bun, roti pizza, roti golok, roti berinti kaya, serunding dan kacang merah. Selain itu, menerusi beberapa siri bengkel asas ICT, softskills dan keusahawanan, puan Zazawaheda turut menerima tunjuk ajar untuk menggunakan perisian Microsoft office, mempelajari cara menggunakan pencetak 3 dalam 1 dan panduan menggunakan aplikasi MAE Maybank untuk tujuan semakan akaun dan pemindahan wang secara dalam talian
Kesemua siri pembelajaran ini diikuti secara konsisten oleh puan Zazawaheda sehingga kini apabila beliau berkelapangan dengan bimbingan daripada petugas NADI Felda Lui Selatan.
Selepas penggunaan ICT/ penglibatan PEDi
Selepas mengikuti bengkel yang dianjurkan oleh NADI Felda Lui Selatan, puan Zazawaheda berjaya menghasilkan pelbagai produk bakeri hasil air tangan beliau sendiri. Ramai pelanggan memberi reaksi positif terhadap hasil produk beliau dan memberi komen yang baik. Sudah tentu puan Zazawaheda boleh berbangga atas kejayaan beliau kerana dengan modal yang kecil dan berbekalkan kapasiti mesin pengadun roti yang minima, beliau akhirnya mampu menjual pelbagai jenis roti mengikut permintaan pelanggan. Produk beliau banyak mendapat tempat di hati pelanggan khusunya untuk majlis kenduri, jamuan makan dan tempahan khas buah tangan.
Selain itu, usaha beliau yang tidak jemu menuntut ilmu telah membuahkan hasil apabila beliau juga sudah mahir mengendalikan perisian Microsoft Office dan menggunakan pencetak bagi memudahkan urusan kerja. Pembelajaran ini tidak akan terhenti kerana puan Zazawaheda sendiri berasa seronok mempelajari perkara baru di NADI Felda Lui Selatan.
Sebelum ini, puan Zazawaheda memperoleh pendapatan sebanyak RM500 sahaja sebulan. Kini, pendapatan beliau boleh mencecah sehingga RM1500 – RM2000 sebulan hasil daripada jualan yang diperolehi.
Caption: Antara hasil jualan roti puan Zazawaheda yang mendapat tempat di hati pelanggan.