HUTAN LIPUR SERTING ULU 

collage 2017 10 11 4

PENGENALAN : 

Hutan Lipur Serting Ulu adalah salah satu tempat menarik yang sering diperkatakan oleh penduduk tempatan Jempol . Ia terletak di bahagian Utara kira-kira 20 KM dari Bahau. Kawasan ini mula dimajukan pada tahun 1986 setelah ia ditemui sejak seratus tahun lalu. Jalan masuk ke Hutan Lipur ini agak sempit dan membenarkan hanya sebuah kereta untuk melaluinya sahaja. Keadaan ini menguji kesabaran para pemandu, kerana salah sebuah kereta terpaksa berhenti bagi memberi laluan kepada kenderaan dari arah yang bertentangan untuk melepasinya dalam satu masa.


Setelah menempuhi perjalanan lebih kurang dua kilometer, anda akan mula melihat kawasan hutan yang dijaga dengan rapi. Keriuhan suara kanak-kanak bermain dan bunyi aliran air sungai beriringan menyambut kedatangan anda, menggantikan kebingitan dan kesibukan kota. Terdapat satu projek membina chalet yang sedang giat dijalankankan bagi memastikan dapat memenuhi kehendak pengunjung yang teringin bermalam di kawasan ini.Ketika masuk ke kawasan hutan ini, mungkin anda tidak mempercayai kawasan tersebut yang bersih, tanpa sampah-sarap seperti di kebanyakan kawasan rekreasi lain. 

Pada waktu ini anda akan dapat menghidu kesegaran udara. Untuk memasuki kawasan ini, anda perlu mendaki sedikit bukit dahulu, ketika ini anda mungkin mampu menghidu kesegaran dan kenyamanan udara di tempat ini. Sudah tentu anda akan mengakui inilah tempat yang tepat untuk merehatkan diri dan fikiran anda. Perkara yang pertama yang anda ingin lakukan mungkin merendamkan kaki anda di dalam air sungai yang sedang mengalir. Urutan batu-batu kecil dan kesejukan air yang mengalir pastinya dapat menghilangkan kepenatan memandu ke tempat ini. Terdapat sebuah jambatan gantung yang dibina untuk menghubungkan dua buah bukit di sini.

Bagi penggemar sukan lasak, Hutan Rekreasi Serting Ulu menawarkan tempat untuk berkhemah ataupun aktiviti untuk mendaki. Keindahan tempat ini pastinya menjadi faktor utama untuk anda kembali ke tempat ini.

sumber:http://pdtjempol.ns.gov.my/