KISAH KEJAYAAN: MOHAMAD AKIFF DANIAL BIN MOHD ZAINI

UMUR: 6 TAHUN

Latar belakang

Adik Mohamad Akiff Daniel bin Mohd Zaini merupakan ahli berdaftar di PEDiFelda Lui Selatan sejak bulan Februari 2019. Beliau sering berkunjung ke Pusat Internet untuk melayari internet khususnya Youtube. Beliau kini bersekolah di Prasekolah SK Felda Lui Selatan.

Sebelum penggunaan ICT / penglibatan PEDi

Pada mulanya, adik Akiff Danial mengalami sedikit masalah lambat bertutur dan ini mendorong ibunya untuk memperkenalkan pembelajaran secara atas talian kepada adik Akiff. Dengan bantuan petugas PEDi, adik Akiff mula diperkenalkan dengan pembelajaran abjad dan nombor menerusi laman sesawang e-pembelajaran. Adik Akiff juga mempelajari bunyian abjad melalui Youtube untuk menambah kemahiran bertutur menerusi audio dan visual. Disamping itu, beliau turut diberi pendedahan dalam penggunaan aplikasi komputer seperti aplikasi Paint untuk menambah kemahiran motor dan menggalakkan penggunaan ICT.

Selepas penggunaan ICT/ penglibatan PEDi

Selepas beberapa ketika mengikuti bengkel asas ICT, adik Akiff menunjukkan peningkatan yang amat baik. Beliau semakin mahir mengguna pakai aplikasi Paint dan penggunaan peralatan komputer. Selain itu, beliau juga menunjukkan peningkatan yang sangat baik daripada segi mengenali abjad dan nombor. Beliau kini mahir menyebut huruf-huruf dengan mudah dan boleh menyebut suku kata dengan lancar.

Dengan bantuan laman web e-pembelajaran dan Youtube, adik Akiff kini mampu mempelajari banyak perkara dan memperoleh manfaat dalam memperbaiki masalah pertuturan secara beransur-ansur.

 

AKIFF DANIAL

 

KISAH KEJAYAAN: MOHD NAZRI BIN SAMSIR

UMUR: 45 TAHUN

Latar belakang

Encik Mohd Nazri bin Samsir merupakan seorang kontraktor berdaftar yang menetap di Felda Lui Selatan 2. Beliau telah berkecimpung dalam bidang pembinaan selama lebih 8 tahun dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang pembinaan meliputi kontrak pembinaan rumah, longkang dan jalan raya

Sebelum penggunaan ICT / penglibatan PEDi

Encik Mohd Nazri menyedari bahawa dalam perniagaan, persaingan sengit perlu dihadapi oleh beliau terutamanya dalam mendapatkan projek di bawah kerajaan negeri atau persekutuan. Menyedari hakikat ini, Encik Mohd Nazri mengambil inisiatif untuk mempelajari ilmu asas ICT dan keusahawanan daripada petugas PEDi Felda Lui Selatan. Sebelum ini, bagi mendapatkan tender projek, kontraktor perlu menghantar borang secara manual tetapi kini dengan adanya laman sesawang, permohonan tender mesti dibuat secara atas talian.

Justeru, dalam bengkel keusahawanan tersebut, Encik Mohd Nazri diberi tunjuk ajar menggunakan laman sesawang www.mara.gov.my untuk memohon tender di bawah pihak MARA. Selain itu, beliau juga mempelajari kaedah mempromosikan perkhidmatannya menerusi aplikasi Whatsapp for Business.

Selepas penggunaan ICT/ penglibatan PEDi

Selepas mengikuti bengkel keusahawanan anjuran PEDi Felda Lui Selatan, Encik Mohd Nazri berpendapat bahawa bengkel ini memberi input berguna kepada usahawan untuk melakukan sendiri proses permohonan tender secara mudah dan pantas menerusi penggunaan internet. Beliau juga mengakui penggunaan Whatsapp for Business lebih memudahkan urusan beliau untuk berkomunikasi dengan pelanggan.

Berbanding sebelum ini, Encik Mohd Nazri memperoleh pendapatan sebanyak RM8000 sebulan. Selepas mengikuti bengkel keusahawanan anjuran Pusat Internet Felda Lui Selatan, pendapatan beliau mampu mencecah sehingga RM10000 sebulan. Ternyata bengkel ini membantu dan memberi manfaat kepada beliau secara efektif.

encik nazri

Caption: En. Nazri sedang memohon undian tender menggunakan laman sesawang  www.mara.gov.my

 

 

KISAH KEJAYAAN: SHAMSINAH BINTI OTHMAN

UMUR: 61 TAHUN

LATAR BELAKANG:

Puan Samsinah binti Othman merupakan penduduk tetap di Felda Lui Selatan 1 dan telah mendaftar sebagai ahli PEDi Felda Lui Selatan sejak tahun 2014. Sebelum menetap sepenuh masa di Felda Lui Selatan, beliau telah bekerja sebagai seorang jururawat di Arab Saudi dan menjadi pegawai pengurusan bagi jururawat yang ingin bekerja di luar negara. Selepas bersara, beliau memenuhi masa lapang dengan menyertai aktiviti keagamaan dan melancong secara berkumpulan. 

SEBELUM PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi:

Pada mulanya, Puan Samsinah sering mengunjungi PEDi Felda Lui Selatan untuk melayari internet dan memeriksa emel sahaja. Selepas dipelawa oleh petugas, beliau berminat untuk menyertai bengkel asas ICT secara fleksibel. Beliau diberikan tunjuk ajar untuk mengendalikan peralatan komputer dan memuat turun gambar daripada internet. Beliau turut mempelajari asas Microsoft Office dan penggunaan laman sosial Whatsapp Web untuk memudahkan urusan.

SELEPAS PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi:

Selepas beberapa bulan mengikuti bengkel asas ICT, Puan Samsinah menunjukkan peningkatan yang amat baik. Beliau semakin mahir mengguna pakai perisian Microsoft Office. Pada bulan November yang lepas, beliau telah dilantik sebagai ketua rombongan ke Hatyai, Thailand. Bagi melancarkan urusan pembayaran, beliau telah menggunakan sepenuhnya Microsoft Office Excel untuk menyimpan senarai ahli rombongan beserta butiran lain yang diperlukan. Seterusnya, beliau menggunakan laman web Whatsapp Web untuk berkongsi dokumen yang diperlukan kepada ahli rombongan yang terlibat bagi memudahkan rujukan.  

Dengan penggunaan perisian di komputer, tugas Puan Samsinah menjadi lebih mudah dan pantas. Segala tugas dapat dijalankan secara efisien dengan bantuan teknologi.

shamsinah

  Gambar menunjukkan Puan Samsinah sedang mengikuti bengkel asas ICT yang memfokuskan kepada penggunaan laman web Whatsapp Web.

 

KISAH KEJAYAAN: HAZLINA BINTI JAAFAR

UMUR: 36 TAHUN

Latar belakang

Puan Noor Hazlina binti Jaaffar merupakan seorang jururawat desa di Klinik Desa Felda Lui Selatan. Beliau yang berasal dari Terengganu telah berkahwin seterusnya menetap di Felda Lui Selatan sejak 9 tahun yang lalu. Disamping menjalankan tanggungjawab sebagai seorang jururawat desa, beliau mula berjinak-jinak dalam menghasilkan roti homemade secara kecil-kecilan.

Sebelum penggunaan ICT / penglibatan PEDi

Bersandarkan kepada minat yang mendalam khususnya dalam pembuatan pelbagai jenis roti homemade, beliau telah mengikuti beberapa siri kelas pembuatan roti secara atas talian sama ada di Facebook atau Whatsapp group. Disamping itu, beliau turut mencari resepi-resepi roti di internet dan cuba untuk menghasilkannya di rumah. Antara roti yang dihasilkan termasuklah roti sosej, roti chicken floss dan burger mini. Bertitik tolak daripada minat mencuba dan semangat untuk menambah pendapatan sampingan keluarga, Puan Hazlina mengorak langkah untuk memasarkan roti homemade buatannya kepada masyarakat sekitar.

Antara usaha Puan Hazlina termasuklah meletakkan jualan roti homemade di PEDi Felda Lui Selatan. Memandangkan sambutan yang diterima amat menggalakkan, petugas Pusat Internet Felda Lui Selatan telah mempelawa Puan Hazlina untuk menyertai beberapa siri bengkel ICT dan keusahawanan untuk menambah kemahiran beliau dalam bidang ICT. Disebabkan kekangan kerja, bengkel yang disertai bersifat fleksibel untuk disesuaikan dengan jadual kerja Puan Hazlina.

Dalam bengkel yang disertai, Puan Hazlina telah diberikan tunjuk ajar untuk mempelajari aplikasi Gmail, Yahoo Mail & Whatsapp Web. Beliau juga telah mempelajari kaedah suntingan posting di Facebook peribadi dan status Whatsapp untuk menarik pelanggan baru. 

Selepas penggunaan ICT/ penglibatan PEDi

Ternyata, selepas mengikuti bengkel asas ICT dan keusahawanan anjuran PEDI Felda Lui Selatan, Puan Hazlina berupaya untuk mengguna pakai aplikasi Gmail dan Yahoo Mail untuk menghantar dokumen secara atas talian. Beliau juga sering menggunakan aplikasi media sosial Facebook untuk memuat naik gambar dan posting produk roti homemade jualannya.

Setelah perniagaannya diperkenalkan, beliau berjaya menerima tempahan daripada kedai runcit yang terletak di Felda Lui Selatan dan membuka tempahan berkala kepada masyarakat sekitar. Dengan harga yang sangat berpatutan dan rasa yang sedap, roti homemade Puan Hazlina mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Pendapatan beliau turut meningkat daripada RM150 sebulan kepada RM1000 sebulan secara purata. Dengan usaha jitu dan bantuan promosi daripada laman sosial dan penggunaan aplikasi, ia memberi kelebihan kepada Puan Hazlina untuk menambah pendapatan keluarga.

WhatsApp Image 2020 01 30 at 12.12.39 PM

Gambar menunjukkan Puan Hazlina (kiri) dan Puan Norzita sedang mengikuti bengkel asas ICT yang memfokuskan kepada penggunaan laman facebook page

 

 

KISAH KEJAYAAN: INDRAWATY SULASTRI MULYONO

UMUR: 45 TAHUN

LATAR BELAKANG:

Puan Indrawaty Sulastri berasal dari Indonesia. Beliau telah bermastautin di Malaysia sejak 20 tahun yang lalu dan kini menetap di Felda Lui Selatan 2. Sebelum ini, beliau merupakan pengusaha kantin di SK Felda Lui Selatan selama 2 tahun. Kini, beliau adalah surirumah tangga sepenuh masa dan mengisi masa lapangnya dengan melakukan aktiviti jahitan. Dunia jahitan sememangnya telah diminati oleh beliau sejak sebelum berkahwin lagi dan menjahit sendiri baju anak-anaknya berpandukan contoh di internet.

SEBELUM PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDI:

Di Felda Lui Selatan, terdapat beberapa orang tukang jahit yang aktif menerima tempahan pelanggan. Pada mulanya, Puan Indrawaty merasakan beliau hanya menjahit sekadar memenuhi hobi sahaja. Selepas menerima dorongan oleh suaminya, beliau mengambil keputusan untuk menerima tempahan jahitan pada skala yang kecil khususnya daripada rakan-rakan dan saudara-mara.

Selain membuat rujukan pola jahitan menerusi internet, beliau turut mengambil kesempatan untuk mempelajari asas ilmu komputer di Felda Lui Selatan. Sejak mendaftar sebagai ahli PEDi Felda Lui Selatan pada bulan Januari 2019, beliau sering berkunjung ke Pusat Internet bagi melayari internet dan menyertai bengkel keusahawanan dan asas ICT dengan bimbingan petugas.

Dalam bengkel yang disertai, Puan Indrawaty diberikan tunjuk ajar untuk mempelajari pengurusan tempahan menerusi aplikasi Gmail & Whatsapp Web. Beliau juga telah mempelajari kaedah suntingan gambar menerusi aplikasi PhotoGrid disamping bengkel asas Microsoft Office. Beliau juga aktif menyertai setiap program tahunan yang dianjurkan oleh PEDi Felda Lui Selatan.

SELEPAS PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi:

Selepas mengikuti bengkel asas ICT dan keusahawanan anjuran PEDi Felda Lui Selatan, Puan Indrawaty semakin mahir melakukan editing pada gambar promosi jahitannya untuk dimuat naik di status Facebook & Whatsapp. Tempahan pelanggan juga dapat diurus dengan baik menerusi rekod yang dilakukan di Microsoft Office Excel.

Jika dibuat perbandingan, sebelum ini Puan Indrawaty tidak memiliki pelanggan yang ramai. Namun, setelah perniagaannya diperkenalkan, beliau berjaya menerima tempahan dan tender jahitan daripada pihak sekolah dan pelanggan baru. Pendapatan beliau turut meningkat daripada RM250 sebulan kepada RM1000 sebulan secara purata. Dengan usaha jitu dan bantuan promosi daripada laman sosial dan penggunaan aplikasi, perniagaan jahitan ini membawa perubahan kepada ekonomi keluarga Puan Indrawaty.

indrawaty

 

Antara hasil jahitan pakaian dan tempahan yang telah diterima oleh Puan Indrawaty Sulastri.