KISAH KEJAYAAN: PUAN ROHAYU BINTI KADIR

UMUR: 36 TAHUN

LATAR BELAKANG:

Puan Rohayu binti Abd Kadir merupakan salah seorang ahli berdaftar PEDi Felda Lui Selatan sejak bulan Julai 2018. Beliau bekerja sebagai pembantu kantin di Sekolah Kebangsaan Felda Lui Selatan sejak awal tahun 2019. Disamping bekerja, beliau turut mengambil tempahan katering makanan secara sambilan untuk majlis-majlis keramaian, kenduri, jamuan dan sebagainya.

 

SEBELUM PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi:

Mempunyai minat yang mendalam dalam bidang masakan, bakat yang dimiliki oleh Puan Rohayu tidak disia-siakan begitu sahaja. Beliau mengambil peluang tersebut dengan memperkenalkan perkhidmatan katering meliputi masakan lauk-pauk dan manisan untuk memenuhi keperluan pelanggan. Beliau bermula dengan modal sendiri secara kecil-kecilan dan pelanggannya terdiri daripada jiran-jiran dan kenalan sahaja. Menyedari potensi perniagaan mampu berkembang pesat dengan bantuan medium media sosial, Puan Rohayu mengambil keputusan untuk menyertai bengkel keusahawanan anjuran Pusat Internet Felda Lui Selatan bersama beliawanis Felda Lui Selatan 2.

Menerusi bengkel tersebut, Puan Rohayu telah mempelajari ilmu asas ICT menerusi penggunaan perisian Microsoft Office, cara untuk memuat naik gambar produk dan caption yang menarik di Facebook. Beliau turut diberikan tunjuk ajar untuk menyunting foto produk. Selain itu, bengkel pengenalan emel dan pengenalan asas kepada internet juga dipelajari oleh Puan Rohayu.

 

SELEPAS PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi:

Selepas lima bulan mengikuti bengkel keusahawanan anjuran PEDi Felda Lui Selatan, Puan Rohayu sudah semakin mahir menggunakan peralatan komputer dan mengetahui fungsi asas perisian Microsoft Office. Beliau juga sering memuat naik aktiviti masakannya di lama Facebook peribadi bertujuan untuk mempromosikan perniagaan sambilannya itu. Banyak tempahan pelanggan diterima menerusi aplikasi media sosial seperti Facebook dan Whatsapp. Ini membuktikan kuasa media sosial yang baik dalam mempromosikan perniagaan beliau supaya dikenali oleh orang ramai.

Sebelum ini, Puan Rohayu memperoleh pendapatan sebanyak RM600 sebulan. Setelah beberapa bulan mengikuti bengkel keusahawanan di PI Felda Lui Selatan, beliau berjaya menjana pendapatan sebanyak RM2000 sebulan. Tempahan yang diterima juga adalah pelbagai tidak hanya bertumpu kepada individu, bahkan perkhidmatan beliau juga telah diterima baik oleh agensi kerajaan misalnya pihak Pulapol Bandar Seri Jempol. 

 

PUAN ROHAYU KADIR

 

KISAH KEJAYAAN: PUAN HALIMAH BINTI ABD GHANI

UMUR: 34 TAHUN

LATAR BELAKANG:

Puan Halimah binti Abd Ghani merupakan seorang surirumah dan telah mendaftar di PEDi Felda Lui Selatan sejak bulan Januari 2016. Beliau sangat aktif dalam aktiviti belia dan dilantik sebagai Setiusaha Majlis Belia Felda Malaysia cawangan Felda Lui Selatan. Beliau sering mengunjungi PI Felda Lui Selatan untuk menggunakan perkhidmatan di PEDi seperti cetakan, fotostat atau sekadar melayari internet untuk mencari info. Perkhidmatan yang terdapat di PI sangat membantu beliau untuk menyelesaikan tugasan berkaitan tugas perkeranian sebagai seorang setiausaha persatuan

SEBELUM PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi:

Pada permulaan, Puan Halimah hanya mempunyai kemahiran asas dalam menggunakan komputer seperti melayari internet. Berikutan tugasnya sebagai setiausaha persatuan, Puan Halimah mengambil keputusan untuk menyertai Bengkel aplikasi komputer dan internet anjuran PEDi Felda Lui Selatan sejak bulan Ogos 2018.

SELEPAS PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi

Selepas enam bulan mengikuti bengkel asas aplikasi komputer dan internet, Puan Halimah mendapati kemahirannya dalam mengendalikan perkakasan komputer dan penggunaan aplikasi komputer telah meningkat dari masa ke semasa. Beliau telah mempelajari pelbagai modul antaranya penggunaan perisian Microsoft Office Word, Powerpoint, Excel dan Publisher. Selain itu, dalam sesi bengkel aplikasi internet, beliau turut diberikan tunjuk ajar untuk menggunakan laman carian Google, perisian Dashboard Komuniti dan laman web e-kerajaan.

Hasil daripada pembelajaran tersebut, beliau kini boleh menaip sendiri segala laporan berkaitan persatuan, mengedit dan menambah baik laporan sedia ada mengikut format yang disediakan. Beliau juga mahir menggunakan internet seperti laman carian Google untuk mencari info-info berkaitan.   

HALIMAH GHANI

 Gambar menunjukkan Puan Halimah sedang menggunakan aplikasi Microsoft Office.

 

 

 

KISAH KEJAYAAN: MUHAMMAD RIZAL BIN DAPRI

UMUR: 16 TAHUN

LATAR BELAKANG:

Muhammad Rizal bin Sapri merupakan seorang belia yang menetap di Felda Lui Selatan 1. Beliau telah berhenti sekolah pada tahun ini disebabkan keluarganya mengalami masalah kewangan. Lantaran itu, beliau mengambil inisiatif untuk membantu ibunya menjalankan perniagaan kecil-kecilan daripada rumah dengan menjual produk makanan sejuk beku seperti kuih-muih dan membuka gerai yang menjual makanan seperti burger, kentang spring roll, sosej dan minuman

 

SEBELUM PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi:

Kesulitan yang dihadapi oleh keluarga tidak mematahkan semangat Muhammad Rizal untuk mencari rezeki dan menambah pendapatan keluarganya. Hal ini menyebabkan beliau berusaha untuk membantu memasarkan produk kuih-muih sejuk beku hasil air tangan ibunya menerusi laman sosial. Oleh itu, beliau telah datang sendiri ke Pusat Internet untuk mempelajari cara-cara memasarkan produk sejuk beku dan mewar-warkan promosi terkini perniagaan makanan ringan menerusi laman sosial Facebook dan Whatsapp.

Bermula dengan mempelajari cara untuk membuat posting produk di Facebook sendiri, beliau kemudiannya diberikan tunjuk ajar untuk menggunakan Whatsapp Web di komputer untuk memudahkan beliau membalas mesej pertanyaan pelanggan. Selain itu, Muhammad Rizal juga diajar cara untuk memuat naik posting produk yang berkesan di Whatsapp status agar kelihatan menarik. Beliau turut diberikan panduan untuk memuat naik produk di laman web MyShop Dashboard Komuniti untuk meluaskan lagi permintaan produk ke tempat-tempat lain.

 

SELEPAS PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi:

Selepas 2 bulan mengikuti bengkel keusahawanan ini, Muhammad Rizal mendapati pelanggan baru turut bertambah kepada 40 pelanggan sebulan secara purata. Perniagaan makanan ringan beliau juga turut menerima sambutan kerana adanya perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah secara percuma di sekitar Felda Lui Selatan.    

Sebelum ini, Muhammad Rizal hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM250 sebulan kerana permintaan pelanggan hanya tertumpu dalam kalangan sahabat dan penduduk sekitar Felda Lui Selatan. Setelah mengikuti bengkel keusahawanan di PI Felda Lui Selatan, beliau berjaya menambah bilangan pelanggan baharu khususnya di daerah Jempol. Pendapatan beliau juga kini meningkat kepada RM1000 sebulan hasil daripada jualan kuih-muih sejuk beku dan makanan ringan yang diusahakannya di rumah.

rizal

(Muhammad Rizal (berdiri, tengah) bergambar bersama para belia MBFM Lui Selatan 1 yang menerima sijil tamat latihan komputer anjuran PI Felda Lui Selatan.)
 

 

KISAH KEJAYAAN: PUAN SUHANA BINTI MOHAMED SAID

UMUR: 32 TAHUN

LATAR BELAKANG:

Puan Suhana binti Mohamed Said merupakan salah seorang ahli berdaftar PEDi Felda Lui Selatan sejak bulan Oktober 2017. Disamping menjalankan tanggungjawab sebagai surirumah, Puan Suhana juga berjinak-jinak dalam perniagaan secara sambilan iaitu menjadi pengedar produk kesihatan berasaskan makanan tambahan untuk golongan wanita. Pada tahun 2018, beliau mengambil keputusan untuk menyewa lot kedai di kawasan perniagaan Felda Lui Selatan untuk menjual makanan ringan dan membuka kiosk ayam goreng Five Star.

SEBELUM PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi:

Bermula dengan mempelajari cara untuk membuat posting produk di Facebook sendiri, beliau kemudiannya diberikan tunjuk ajar untuk menggunakan Whatsapp Web di komputer untuk memudahkan beliau membalas mesej pertanyaan pelanggan. Selain itu, Puan Suhana juga diberikan tunjuk ajar untuk memuatnaik produk ke dalam aplikasi MyShop Dashboard Komuniti untuk menambah bilangan pelanggan dari masa ke semasa. Beliau turut dijemput menyertai aktiviti keusahawanan berasaskan penggunaan internet misalnya aktiviti pembuatan hamper dan aktiviti masakan

SELEPAS PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi:

Selepas 3 bulan mengikuti bengkel keusahawanan anjuran PEDi Felda Lui Selatan, Puan Suhana mendapati perniagaan makanan ringan beliau menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk sekitar. Hal ini disebabkan Puan Suhana sentiasa komited memuat naik posting perniagaan secara atas talian menerusi Facebook dan status Whatsapp. Muat naik iklan di MyShop juga sedikit sebanyak membantu Puan Suhana menambah bilangan pelanggan baru.

Sebelum ini, Puan Suhana hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM300 sebulan. Setelah mengikuti bengkel keusahawanan di PI Felda Lui Selatan, beliau berjaya meraih pendapatan sebanyak RM700 dan perlu menambah stok makanan ringan untuk menampung permintaan pelanggan. Selepas ini, beliau bercadang untuk meluaskan lagi perniagaan dengan menambah stok baju kanak-kanak dengan harga mesra bajet.

 

kedai suhana

 

KISAH KEJAYAAN: HASLINDA BINTI ABDUL KARIM

UMUR: 28 TAHUN

LATAR BELAKANG:

Cik Haslinda Abdul Karim merupakan seorang belia yang menetap di Felda Lui Selatan 2. Beliau bergiat aktif dalam persatuan belia Felda Lui Selatan 2 dan banyak terlibat dalam aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan itu. Bagi mengisi masa lapang, beliau menjalankan perniagaan jualan makanan ringan di padang futsal Felda Lui Selatan di samping menjadi jurufoto sambilan bagi pelbagai majlis.

SEBELUM PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi:

Menyedari kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini, Cik Haslinda mengambil inisiatif untuk berniaga dan menjadi jurufoto secara sambilan sesuai dengan kemahiran yang dimiliki dalam bidang fotografi. Pada permulaan, beliau hanya menerima undangan daripada rakan terdekat untuk mengabadikan kenangan semasa majlis perkahwinan rakannya. Selepas daripada itu, Cik Haslinda mula menerima tempahan menjadi jurufoto daripada pihak lain. Menyedari potensi perniagaan ini, Cik Haslinda berusaha untuk meluaskan lagi perniagaan secara sambilan ini menerusi promosi di media sosial. 

Cik Haslinda telah datang sendiri ke Pusat Internet untuk mempelajari kaedah pemasaran produk di internet. Antara platform yang digunakan adalah media sosial Facebook, Whatsapp dan Mudah.my. Beliau turut diberikan panduan untuk memuat naik produk di laman web MyShop Dashboard Komuniti untuk meluaskan lagi perkhidmatan fotografi ke tempat-tempat lain

SELEPAS PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi:

Selepas 3 bulan mengikuti bengkel keusahawanan anjuran Pusat Internet, Cik Haslinda menerima tempahan daripada pelanggan di luar daerah Jempol dan bilangan pelanggan baru meningkat kepada 10 orang sebulan secara purata.

Sebelum ini, beliau hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM500 sebulan kerana kekurangan promosi dan peralatan fotografi. Setelah mengikuti bengkel keusahawanan dan menambah sedikit lagi modal membeli peralatan fotografi, beliau berjaya menambah pendapatan bulanan. Pendapatan beliau kini meningkat kepada RM2000 sebulan hasil daripada sesi fotografi meliputi majlis perkahwinan, pre-wedding dan sebagainya secara sambilan.

5678

(Cik Haslinda sedang mengikuti Bengkel Keusahawanan)