KISAH KEJAYAAN: NURUL ATIQAH BINTI KAMARUDDIN

UMUR: 30 TAHUN

LATAR BELAKANG:

Puan Nurul Atiqah Kamaruddin adalah seorang peniaga katering kecil-kecilan yang bertapak di Felda Lui Selatan 1. Antara makanan yang dijual oleh beliau termasuklah nasi ayam, bihun sup, aneka masakan panas dan kuih-muih tradisional. Beliau telah mendaftarkan diri sebagai ahli PEDi sejak bulan Januari 2018. Bersama beliawanis Felda Lui Selatan 1, beliau telah menyertai bengkel asas keusahawanan anjuran PEDi Lui Selatan.

 

SEBELUM PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi:

Sebagai seorang peniaga katering, beliau menyedari bahawa memenuhi permintaan pelanggan merupakan kunci utama kepada perniagaannya. Dengan pengaruh media sosial pada zaman kini, Puan Nurul Atiqah merasakan keperluan untuk menuntut ilmu keusahawanan amat penting bagi memastikan kelangsungan perniagaan katering beliau.      

Sebelum menyertai bengkel keusahawanan, Puan Nurul Atiqah memperoleh pendapatan sebanyak RM2000 sebulan. Permintaan pelanggan pula hanyalah terhad di sekitar daerah Jempol sahaja. Untuk mengembangkan lagi perniagaan katering beliau ke serata Negeri Sembilan, beliau telah mengikuti bengkel keusahawanan yang meliputi modul penggunaan media sosial, bengkel emel, bengkel Microsoft Office dan bengkel editing image.  

 

SELEPAS PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi:

Selepas beberapa bulan mengikuti bengkel keusahawanan ini, Puan Nurul Atiqah sudah semakin mahir menggunakan perisian komputer disamping menarik lebih ramai pelanggan menerusi promosi perkhidmatan katering beliau di Whatsapp dan Facebook. Selain itu, banner dan poster perkhidmatan katering turut direka sendiri oleh beliau untuk tujuan promosi.

Perniagaan katering beliau juga mula mendapat tempahan yang memberangsangkan di luar daerah Jempol. Semua ini adalah hasil daripada pembelajaran yang telah diikuti oleh beliau dalam bengkel keusahawanan anjuran Pusat Internet Felda Lui Selatan. Purata pendapatan beliau turut meningkat daripada RM2000 kepada RM4000 sebulan.

TIQAH

(Puan Nurul Atiqah (duduk, kiri) ketika menyertai bengkel keusahawanan anjuran PEDi Felda Lui Selatan)
 

 

KISAH KEJAYAAN: SALINA BINTI ISMAIL

UMUR: 40 TAHUN

LATAR BELAKANG:

Puan Salina binti Ismail merupakan seorang suri rumah sepenuh masa dan menetap di Felda Lui Selatan 1. Beliau telah mendaftarkan diri sebagai ahli Pusat Internet sejak bulan Januari 2018 dan mula menyertai kelas asas komputer dan keusahawanan anjuran PEDi Felda Lui Selatan bersama beliawanis Felda Lui Selatan 1. 

 

SEBELUM PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi:

Pada mulanya, Puan Salina tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya menerima tempahan makanan ringan dalam jumlah yang terhad. Kadangkala, beliau hanya memperoleh purata pendapatan sebanyak RM150.00 sahaja sebulan atas faktor kekangan masa dan kurangnya permintaan daripada pelanggan.

Menyedari minat beliau yang mendalam dalam penghasilan makanan ringan seperti kudapan kacang goreng dan membuat kuih-muih, pihak PEDi Felda Lui Selatan telah mempelawa Puan Salina untuk menyertai kelas keusahawanan yang diadakan sekali seminggu. Sejak bulan Januari 2018, beliau telah menyertai bengkel asas komputer meliputi bengkel Microsoft Office, bengkel keusahawanan dan bengkel kesedaran penggunaan gajet dan media sosial.

 

SELEPAS PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi:

Selepas menyertai bengkel yang dianjurkan oleh pihak PEDit Felda Lui Selatan, Puan Salina telah memperoleh keyakinan untuk mempromosikan lagi makanan ringan dan kuih-muihnya menerusi laman sosial Facebook. Usaha beliau turut mendapat sokongan daripada petugas PEDi di mana makanan ringan tersebut turut dijual di Pusat Internet dan kedai-kedai runcit sekitar Felda Lui Selatan. 

Selain itu, permintaan daripada pelanggan juga kian meningkat dan beliau tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan kuih-muih dan makanan ringan. Jumlah pendapatan beliau turut meningkat daripada RM150 kepada RM450 sebulan.

BENGKEL

(Puan Salina (duduk, kiri) ketika menyertai bengkel keusahawanan anjuran Pusat Internet Felda Lui Selatan)

 

KISAH KEJAYAAN: CIK NURUL AIN BINTI ZAZALI

UMUR: 23 TAHUN

LATAR BELAKANG:

Cik Nurul Ain binti Zazali merupakan salah seorang ahli berdaftar PEDi Felda Lui Selatan sejak bulan Disember 2017. Beliau kini sedang giat mencari pekerjaan dan sering mengunjungi Pusat Internet untuk menggunakan kemudahan yang terdapat di sini. Sebagai persediaan untuk menempuh alam pekerjaan kelak, adalah penting untuk melengkapkan diri dengan ilmu aplikasi komputer agar mudah mengadaptasi persekitaran kerja yang kebanyakannya berkait rapat dengan penggunaan komputer.

 

SEBELUM PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi:

Cik Nurul Ain mengakui kemahiran beliau dalam penggunaan aplikasi komputer adalah terhad dan faktor tidak mempunyai akses komputer di rumah menyebabkan beliau ingin menimba ilmu komputer di PEDi Felda Lui Selatan. Justeru, Cik Nurul Ain telah  menyertai kelas asas komputer anjuran PEDi Felda Lui Selatan sejak bulan Januari 2018. Beliau percaya mampu untuk mempelajari dan mengaplikasi ilmu tersebut dengan kehadiran ke kelas yang konsisten.

 

SELEPAS PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi:

Selepas lebih dua bulan mengikuti kelas asas aplikasi komputer dan internet, Cik Nurul Ain semakin yakin menggunakan perkakasan komputer disamping mengetahui setiap fungsi perisian yang digunakan. Dalam sesi kelas tersebut, Cik Nurul Ain telah mempelajari perisian Microsoft Office, laman carian Google, laman sesawang Youtube dan emel.

Hasil daripada pembelajaran tersebut, beliau kini semakin mahir menggunakan perisian komputer. Beliau juga sering melayari laman portal pekerjaan untuk memohon pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan. Cik Nurul Ain juga semakin yakin untuk melangkah kealam pekerjaan selepas mengikuti sesi pembelajaran di PEDi Felda Lui Selatan.

 

 

KISAH KEJAYAAN: PUAN NORAFIZA BINTI BUNAWAN

UMUR: 33 TAHUN

LATAR BELAKANG:

Puan Norafiza binti Bunawan adalah seorang suri rumah pada awalnya. Sejak bulan Disember 2017, beliau mula berkecimpung dalam bidang perniagaan dengan memasarkan produk keluaran G-Star iaitu makanan tambahan kesihatan khas untuk golongan kanak-kanak. Kesedaran untuk menambah pendapatan keluarga dan minat yang mendalam dalam bidang keusahawanan telah mendorong Puan Norafiza dengan mengorak langkah sebagai pengedar sah produk tersebut.

 

SEBELUM PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi:

Sebagai seseorang yang terlibat secara langsung dalam bidang perniaagan ini, Puan Norafiza percaya bahawa beliau perlu menguasai ilmu teknologi maklumat lebih-lebih lagi perniagaan beliau menggunakan platform secara atas talian. Semasa peringkat awal perniagaan, beliau hanya memperoleh pelanggan seramai 2 orang sahaja menerusi promosi di laman sosial Facebook. Manakala pendapatan daripada hasil jualan sekitar RM200 sebulan. Tidak berputus asa dengan keadaan itu, beliau mengambil inisiatif untuk datang ke PEDi Felda Lui Selatan dan mula menyertai kelas keusahawanan serta aplikasi komputer sejak pertengahan bulan Januari 2018. 

 

SELEPAS PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi:

Selepas dipelawa oleh petugas PEDi Felda Lui Selatan, Puan Norafiza menunjukkan komitmen yang baik dalam setiap kelas yang dihadiri. Beliau telah mempelajari penggunaan perisian komputer seperti asas Microsoft Office, pengenalan emel dan kaedah promosi produk di laman sosial serta MyShop Dashboard Komuniti.  

Hasil daripada sesi pembelajaran tersebut, Puan Norafiza semakin kreatif dalam memuat naik posting produk keluaran G-Star dengan caption menarik bagi tujuan promosi. Beliau juga semakin mahir dalam penggunaan perisian komputer seperti Microsoft Office bagi memudahkan beliau menjalankan perniagaan secara efektik. Jumlah pelanggan baru juga meningkat daripada 2 orang kepada 8 orang sebulan dengan pendapatan sebulan mencecah RM500 sebulan.

 

 

 

KISAH KEJAYAAN: SITI AZIERA BINTI MOHD FADZLI

UMUR: 18 TAHUN

LATAR BELAKANG:

Cik Siti Aziera binti Mohd Fadzli merupakan anak pertama dalam keluarga. Beliau baru sahaja menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pada masa lapang, beliau membantu ibu saudaranya mengendalikan perniagaan pakaian bundle. Berikutan minat yang mendalam terhadap bidang perniagaan, beliau bercadang untuk mengikuti kelas komputer bagi mendalami selok-belok dunia ICT sebagai persediaan dalam bidang tersebut. 

 

SEBELUM PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi:

Cik Siti Aziera telah mendaftarkan diri sebagai ahli PEDi Felda Lui Selatan pada bulan Oktober 2017 dan beliau telah mengikuti beberapa siri kelas keusahawanan anjuran Pusat Internet. Sebelum menyertai kelas keusahawanan, pendapatan sampingan beliau adalah sekitar RM200.00 sebulan kerana belum lagi menjalankan promosi perniagaan beliau. 

 

SELEPAS PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi:

- Cik Siti Aziera telah menyertai kelas keusahawanan asas iaitu mempelajari Microsoft Words (membuat kertas kerja) dan memuat naik produk ke dalam aplikasi MyShop Dashboard Komuniti.

- Beliau menerima pelanggan setia dan pelanggan baru sekitar gugusan Felda Lui dan daerah Jempol. 

- Perniagaan bundle ibu saudara beliau kini menerima sambutan di luar jangka dan menerima pulangan hasil sebanyak RM1500.00 sebulan.