KISAH KEJAYAAN: Nur Hidayah Binti Ahmad

UMUR: 35 TAHUN

Latar belakang

Puan Nur Hidayah binti Ahmad adalah seorang surirumah sepenuh masa dan aktif menyertai pelbagai aktiviti dan program melibatkan wanita. Beliau dikenali sebagai pembuat dan penjual tapai pulut, tapai ubi dan ayam percik di sekitar Felda Lui Selatan.

Beliau mengikuti suami berpindah dari Seremban ke Felda Lui Selatan sekitar tahun 2017. Menyedari peluang pekerjaan tidaklah meluas lantaran tinggal di kawasan Felda, beliau mula mempelajari cara untuk membuat tapai pulut dan tapai ubi pada permulaannya daripada guru yang berpengalaman. Setelah beberapa kali percubaan, beliau mula yakin untuk menjual dan memasarkan tapai ke sekitar Felda Lui Selatan terlebih dahulu.   

Sebelum penggunaan ICT / penglibatan PEDi

Puan Nur Hidayah memulakan perniagaan tapai dengan modal sendiri tanpa bantuan mana-mana agensi. Dengan kekangan modal, Puan Nur Hidayah mengalami masalah untuk membeli bahan mentah dan peralatan lain. Beliau meminta pihak PEDi Felda Lui Selatan untuk menguruskan beberapa permohonan bantuan niaga seperti Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS), Baitulmal, agensi TEKUN Nasional dan pihak MARA. Petugas membantu Puan Nur Hidayah untuk melengkapkan semua borang secara manual dan secara dalam talian.

Selain itu, Puan Nur Hidayah juga diberikan tunjuk ajar untuk membuat pembelian dan memuat turun MyCTOS Score Report secara dalam talian. Laporan kewangan ini menunjukkan prestasi kewangan dan segala pinjaman sebelumnya yang dilakukan oleh Puan Nur Hidayah. Beliau juga diberikan tunjuk ajar untuk mengemaskini aplikasi Facebook dan menambah pengikut baru di Tiktok untuk tujuan promosi dan pengiklanan produk.

Selepas penggunaan ICT/ penglibatan PEDi

Hasil daripada bantuan petugas PEDi Felda Lui Selatan, Puan Nur Hidayah akhirnya berjaya mendapatkan beberapa bantuan seperti Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) dan Baitulmal manakala bantuan daripada pihak MARA masih di dalam proses. Bantuan ini sedikit sebanyak membantu Puan Nur Hidayah untuk menambah peralatan niaga dan melebarkan tapak jualan yang beroperasi di kediamannya.

Beliau juga memperoleh ilmu dan pengetahuan dalam asas penggunaan internet. Penggunaan media sosial seperti Whatsapp, Facebook dan TikTok dimaksimumkan supaya dapat menambah pelanggan baru dari dalam dan luar daerah Jempol. Puan Nur Hidayah juga merupakan seorang vendor dan menjual tapai di Dapo Kueh, Bandar Seri Jempol. Pada bulan Ramadan, beliau membuka gerai menjual ayam percik resepi turun temurun keluarga dan mendapat sambutan yang baik.

Sebelum ini, puan Nur Hidayah berjaya memperoleh pendapatan sebanyak RM300 sahaja sebulan. Kini, pendapatan beliau boleh mencecah sehingga RM1300 sebulan hasil daripada jualan tapai daripada tempahan pelanggan dan stok vendor

hidayah  

Caption: Gambar menunjukkan Puan Nur Hidayah (berkaca mata) sedang mengikuti bengkel asas keusahawanan anjuran PEDi Felda Lui Selatan.

 

 

KISAH KEJAYAAN: Siti Nor Mastura Binti Masbah

UMUR: 31 TAHUN

Latar belakang

Puan Siti Normastura binti Masbah merupakan seorang suri rumah yang menetap di Felda Lui Selatan 2. Beliau telah mengusahakan perniagaan berasaskan makanan iaitu menjual aneka kek, roti, pastri dan manisan sejak tahun 2018.

Berbekalkan minat yang mendalam dalam pembuatan makanan berasaskan bakeri ini, beliau turut mengambil peluang menghadiri kelas secara bersemuka dan jarak jauh bersama guru berpengalaman untuk menambah ilmu pengetahuan

Sebelum penggunaan ICT / penglibatan PEDi

Sebelum ini, puan Siti Normastura kerap mengunjungi PEDi Felda Lui Selatan untuk mengguna pakai segala kemudahan yang tersedia di sini khususnya mencetak cake topper dan hiasan untuk diletakkan di atas kek. Menyedari kepesatan teknologi yang mampu membantu usahawan melonjakkan hasil jualan, Puan Siti Normastura berminat untuk menyertai beberapa siri bengkel keusahawanan anjuran PEDi Felda Lui Selatan.

Dalam bengkel yang disertai, puan Siti Normastura telah diberikan tunjuk ajar untuk menggunakan aplikasi Whatsapp for Business untuk mempromosikan perniagaan di status Whatsapp serta meletakkan gambar produk di fungsi katalog. Disamping itu, beliau turut mempelajari aplikasi perbankan internet iaitu MAE Maybank untuk melancarkan urus niaga perniagaan. Beliau juga diberikan tunjuk ajar untuk menggunakan media sosial seperti Facebook dan Tiktok menerusi perkongsian video tutorial dan promosi produk di media sosial.

Selepas penggunaan ICT/ penglibatan PEDi

Selepas beberapa kali mengikuti bengkel keusahawanan anjuran PEDi Felda Lui Selatan, puan Siti Normastura sering mempromosikan aktiviti dan kegiatan sehariannya sebagai 

peniaga kek dan pastri menerusi media sosial. Beliau juga sering mengemaskini status Whatsapp dan posting di Facebook berkenaan produk yang dijual setiap hari. Ini mampu meningkatkan hasil pendapatan beliau menerusi iklan yang dibuat.

Kini beliau juga mula menambah produk baru iaitu makanan tradisional jawa seperti punten dan pelbagai jenis kek mini untuk dijual. Pada bulan Ramadan pula, beliau mampu menghasilkan sehingga 500 balang biskut raya untuk dijual kepada pelanggan. Dengan produk berkualiti dan jaminan rasa yang sedap, beliau berjaya memperoleh pelanggan baru daripada dalam dan luar Negeri Sembilan. Beliau juga adalah salah seorang vendor di kedia Dapo Kueh yang terletak di Bandar Seri Jempol dan hasil daripada jualan vendor turut meningkatkan pendapatannya.

Sebelum ini, puan Siti Normastura berjaya memperoleh pendapatan sebanyak RM250 sahaja sebulan. Kini, pendapatan beliau boleh mencecah sehingga RM1500 sebulan hasil daripada tempahan jahitan yang diterima.   

 

mastura  

Caption: Gambar menunjukkan Puan Siti Normastura sedang mengikuti bengkel asas keusahawanan anjuran PEDi Felda Lui Selatan.

 

 

KISAH KEJAYAAN: MOHD ENDDY BIN HAIDIR

UMUR: 17 TAHUN

Latar belakang

Adik Mohd Enddy bin Haidir merupakan seorang pelajar Tingkatan 5. Beliau kini bersekolah di SMK Lui Barat dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini. Merupakan anak kedua daripada 4 orang adik beradik, beliau bercita-cita ingin mengikut jejak langkah ibu dan bapanya yang merupakan peniaga kedai runcit dan kedai makan di Felda Lui Selatan.

Adik Mohd Enddy berminat menceburi bidang pembuatan manisan (dessert). Beliau mula mencari resepi daripada internet dan mencubanya sendiri di rumah. Beliau berhasrat menjadikan perniagaan manisan ini sebagai pendapatan tambahan meskipun masih berada di bangku sekolah. 

 

Sebelum penggunaan ICT / penglibatan PEDi

Sebelum ini, adik Mohd Enddy kerap mengunjungi PEDi Felda Lui Selatan untuk mengguna pakai kemudahan internet dan cetakan yang tersedia di sini. Menyedari minat beliau yang mendalam dalam bidang pembuatan kek, beliau telah dipelawa oleh petugas untuk mengikuti bengkel asas kemahiran ICT dan keusahawanan, Adik Mohd Enddy mula mengikuti bengkel yang dianjurkan bagi menajamkan kemahiran ICT beliau.

Dalam bengkel yang disertai, adik Mohd Enddy telah mempelajari bengkel asas aplikasi Microsoft Office sebagai permulaan. Disamping itu, beliau turut mempelajari bengkel asas ICT seperti laman carian Google untuk mencari resepi berkaitan. Beliau turut diberikan tunjuk ajar menggunakan aplikasi suntingan gambar PhotoGrid yang dimuat turun melalui telefon bimbit. Aplikasi tersebut digunakan untuk mengedit gambar makanan dan minuman yang supaya tampil menarik.

 

Selepas penggunaan ICT/ penglibatan PEDi

Selepas mengikuti bengkel keusahawanan anjuran PEDi, adik Mohd Enddy semakin bersemangat untuk memulakan langkah sebagai usahawan berjaya dalam bidang pembuatan kek. Bermula pada awal tahun 2021, beliau telah mula mempromosikan jualan kek batik hasil air tangannya sendiri menerusi aplikasi status Whatsapp dan media sosial Facebook. Resepi yang diperoleh daripada internet telah disesuaikan dengan citarasa agar bertepatan dengan selera pelanggan. Percaturan beliau mula menampakkan hasil apabila berjaya menerima tempahan daripada kawan sekelas dan jiran-jirannya.

Sebelum ini, adik Mohd Enddy berjaya memperoleh pendapatan sebanyak RM150 sahaja sebulan. Kini, pendapatan beliau boleh mencecah sehingga RM750 sebulan hasil daripada tempahan jahitan yang diterima.   

KEK BATIK

Caption: Resepi kek batik olahan adik Mohd Enddy menjadi pilihan para pelanggan kerana rasanya yang sedap dan dijual dengan harga berpatutan.  

 

 

KISAH KEJAYAAN: Noor Anis Aida Binti Zainal Abidin

UMUR: 27 TAHUN

Latar belakang

Noor Anis Aida binti Zainal Abidin merupakan anak peneroka di Felda Lui Selatan 2. Mula mendaftarkan diri sebagai ahli PEDi Felda Lui Selatan pada bulan Disember 2014, beliau kadang kala berkunjung ke PEDi untuk mendapatkan perkhidmatan fotostat dan mencetak di sini. Beliau kini bekerja sendiri di sekitar Felda Lui Selatan dan tinggal bersama keluarga

Sebelum penggunaan ICT / penglibatan PEDi

Sejak mendaftarkan diri sebagai ahli PEDi, Noor Anis Aida ada beberapa kali berkunjung ke PEDi untuk mendapatkan perkhidmatan asas yang ditawarkan. Pada bulan Januari 2023, beliau meminta bantuan petugas untuk memberi tunjuk ajar ilmu asas ICT bagi mengisi masa lapang sesudah selesai bekerja. Bagi menambah ilmu pengetahuan, beliau dipelawa untuk menyertai bengkel asas ICT untuk mengguna pakai aplikasi komputer oleh petugas seperti perisian Microsoft Office Word, Powerpoint, Excel dan Publisher. Menerusi bengkel ini, banyak input yang dikongsikan oleh petugas terutamanya dalam modul editing documents.

Beliau turut diberikan latihan lanjutan untuk menyiapkan tugasan mengedit dokumen supaya mahir untuk mengguna pakai fungsi yang terdapat di dalam aplikasi tersebut. Beliau juga diberikan tunjuk ajar untuk mempelajari asas penetapan akaun Gmail. Menerusi modul ini, beliau diberi pendedahan untuk menghantar emel beserta lampiran kepada penerima. Disamping itu, Noor Anis Aida turut mengikuti bengkel e-kerajaan seperti permohonan pekerjaan di laman sesawang Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Melalui bengkel ini, beliau diajar untuk mengisi butiran diri secara atas talian bagi tujuan permohonan kerja.

Selepas penggunaan ICT/ penglibatan PEDi

Selepas 3 bulan mengikuti bengkel asas ICT anjuran PEDi Felda Lui Selatan, Noor Anis Aida menunjukkan perkembangan yang positif dalam kemahiran mengguna pakai aplikasi Microsoft Office. Beliau semakin cekap dan cepat mengadaptasi ilmu baru yang dikongsikan oleh petugas. Dengan bantuan kemudahan yang ada di PEDi, Noor Anis Aida juga mendapat manfaat khususnya menerusi bengkel e-kerajaan yang ditawarkan. Bengkel yang dijalankan oleh PEDi Felda Lui Selatan juga bersifat pembelajaran one-toone supaya pelajar & petugas lebih fokus dan pelajar dapat menguasai kemahiran asas ICT dalam tempoh yang singkat.

 

 Picture1

 

Caption:  Menerusi bengkel asas ICT yang dianjurkan, Nor Anis Aida dapat menguasai ilmu asas ICT dan bengkel e-kerajaan bagi menambah ilmu pengetahuan.

 

 

KISAH KEJAYAAN:  NORAIZAMHANA BINTI MAHUSSIN

UMUR: 38 TAHUN

Latar belakang

Puan Noraizamhana binti Mahussin telah menjadi salah seorang ahli berdaftar PEDi Felda Lui Selatan sejak bulan Julai 2019. Beliau merupakan seorang surirumah sepenuh masa dan bergiat aktif dalam dunia jahitan sejak 10 tahun lepas. Beliau memiliki kemahiran dan bakat dalam dunia jahitan hasil daripada pembelajaran di kelas-kelas kemahiran menjahit anjuran pihak KEMAS. Selepas berumahtangga, beliau mengambil keputusan untuk terus aktif dan menjadikan tempahan jahitan sebagai punca utama  pendapatan keluarga.

Antara perkhidmatan jahitan yang diterima termasuklah tempahan jahitan baju tradisional, baju moden, langsir, alas meja, sarung bantal dan yang terkini beg sekolah, beg alat mekap dan beg bento.

 

Sebelum penggunaan ICT / penglibatan PEDi

Sebelum ini, puan Noraizamhana kerap kali mengikuti aktiviti-aktiviti komuniti anjuran PEDi Felda Lui Selatan bersama beliawanis Felda Lui Selatan 1. Beliau juga akan mengambil bahagian dalam sebarang pertandingan yang dianjurkan oleh pihak PEDi Felda Lui Selatan sebagai tanda sokongan. Beliau juga selalu mengunjungi PIK untuk mengguna pakai segala kemudahan yang tersedia di sini. Selepas dipelawa oleh oleh petugas untuk mengikuti bengkel asas kemahiran ICT dan keusahawanan, puan Noraizamhana hadir ke PEDi untuk mengikuti bengkel yang disediakan oleh petugas.

Dalam bengkel yang disertai, puan Noraizamhana telah diberikan tunjuk ajar untuk menggunakan aplikasi Whatsapp for Business untuk mempromosikan perniagaan di status Whatsapp serta meletakkan gambar produk di fungsi katalog. Disamping itu, beliau turut mempelajari bengkel asas ICT seperti pengenalan aplikasi Microsoft. Beliau juga diberikan peluang untuk mempelajari cara mengedit gambar menggunakan aplikasi Canva. Hal ini amat penting untuk mendapatkan gambar produk yang menarik minat pelanggan.

 

Selepas penggunaan ICT/ penglibatan PEDi

Selepas beberapa kali mengikuti bengkel keusahawanan anjuran Pusat Internet, puan Noraizamhana sudah agak mahir dalam menggunakan aplikasi komputer. Di zaman serba moden ini, beliau mengakui bahawa medium perniagaan dapat diperluaskan lagi dengan bantuan media sosial. Tempahan pelanggan juga semakin mudah diuruskan menerusi aplikasi Whatsapp for Business.

Sebelum ini, puan Noraizamhana berjaya memperoleh pendapatan sebanyak RM200 sahaja sebulan. Kini, pendapatan beliau boleh mencecah sehingga RM1500 sebulan hasil daripada tempahan jahitan yang diterima.   

PRODUK JAHITAN

Caption: : Puan Noraizamhana mengiklankan produk jahitan di Facebook bagi menambah pendapatan tambahan keluarga.