KISAH KEJAYAAN: NUR NABILA NASTASYA BINTI MD AROF (CELIK IT)

UMUR: 15 TAHUN

LATAR BELAKANG:

Adik Nur Nabila Natasya binti Md Arof merupakan ahli berdaftar PEDi Felda Lui Selatan sejak bulan Oktober 2014. Beliau kini sudah berusia 15 tahun dan kini menuntut di SMK Lui Barat. Beliau merupakan pengunjung tetap PEDit dan sering menghabiskan masanya di sini untuk mengulang kali pelajaran, mengadakan perbincangan mahupun sekadar melayari internet di masa lapang.

 

SEBELUM PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi:

Adik Nur Nabila Natasya pada mulanya hanya datang ke PEDiuntuk melayari internet sahaja. Sebagai persediaan untuk mengharungi ujian Penilaian Tingkatan 3 (PT3), beliau mula melakukan persediaan dengan mengadakan perbincangan soalan dan mengulangkaji pelajaran bersama rakan-rakan. Selepas dipelawa oleh petugas, beliau berminat untuk menyertai bengkel asas ICT dan e-pembelajaran bagi membantu beliau dalam subjek Matematik.

 

SELEPAS PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PUSAT INTERNET:

Adik Nur Nabila Natasya telah mempelajari modul asas ICT antaranya penggunaan perisian Microsoft Office Word dan Powerpoint. Kedua-dua perisian ini amat membantu beliau untuk menyiapkan tugasan sekolah dan kerja kursus yang diamanahkan oleh guru. Selain itu, beliau turut diberikan tunjuk ajar untuk memuat turun contoh soalan di laman web e-pembelajaran dan menjawab latihan berpandukan laman web tersebut.

Setelah mengikuti bengkel asas ICT dan e-pembelajaran, adik Nur Nabila Natasya mendapati banyak ilmu baru yang dipelajari khususnya dalam aspek editing menggunakan perisian Microsoft Office. Beliau sangat teruja kerana tugasan sekolah dapat disiapkan dalam masa yang singkat dengan bantuan perisian komputer. Beliau juga mendapat input tambahan melalui contoh soalan peperiksaan menerusi laman web e-pembelajaran seperti www.bumigemilang.com. Hal ini sekaligus menambah pengetahuan dan mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan. Beliau memanfaatkan masa terluang untuk mengulangkaji pelajaran dan sering mengamalkan sikap bertanya kepada petugas sekiranya terdapat sebarang kemusykilan.

 

nabila

 

 

KISAH KEJAYAAN: JULIANA BINTI SIDEK

UMUR: 37 TAHUN

LATAR BELAKANG:

Puan Juliana binti Sidek merupakan salah seorang ahli berdaftar PEDi Felda Lui Selatan sejak bulan Jun 2015. Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam perniagaan makanan sebelum ini di mana beliau pernah menjadi pengusaha kantin selama 2 tahun. Beliau juga sering menerima tempahan makanan daripada orang perseorangan mahupun persatuan di sekitar Felda Lui Selatan. Puan Juliana dan suaminya telah membuka gerai makanan di Kuarters Guru Felda Lui Selatan sejak setahun yang lepas. Gerai makanan ini menawarkan pilihan masakan panas, burger dan minuman untuk para pelanggan.

SEBELUM PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi:

Bidang perniagaan makanan begitu dekat di hati Puan Juliana dan suami kerana ia merupakan punca rezeki utama bagi mereka sekeluarga. Masakan Puan Juliana yang lazat menjadi taruhan untuk memikat hati pelanggan. Menyedari potensi perniagaan makanan ini mampu berkembang pesat menerusi medium internet, Puan Juliana dan suaminya mengambil keputusan untuk menyertai bengkel keusahawanan dan celik ICT anjuran PEDi Felda Lui Selatan bersama beliawanis Felda Lui Selatan 2.

Menerusi bengkel tersebut, Puan Juliana telah mempelajari ilmu asas ICT menerusi penggunaan perisian Microsoft Office dan cara untuk mencipta caption yang menarik bagi mengiklankan perniagaan di Facebook. Beliau turut diberikan tunjuk ajar untuk menyunting foto produk disamping mempelajari modul Whatsapp Web.

SELEPAS PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi:

Selepas tiga bulan mengikuti bengkel keusahawanan dan celik ICT anjuran PEDi Felda Lui Selatan, Puan Juliana menunjukkan perkembangan yang baik khususnya dalam menggunakan peralatan komputer dan mengetahui fungsi asas perisian Microsoft Office. Beliau juga boleh menggunakan medium Whatsapp Web di komputer peribadi untuk membalas mesej kiriman dan tempahan daripada pelanggan secara lebih efektif. Promosi perniagaan juga dilakukan oleh Puan Juliana secara kerap menggunakan Facebook dan status Whatsap.

Berbanding sebelum ini, Puan Juliana hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM500 sebulan. Setelah mengikuti bengkel keusahawanan di PEDi Felda Lui Selatan dan mula mempromosikan jualan gerai masakannya, beliau berjaya menjana pendapatan sebanyak RM1500 sebulan. Menerusi penggunaan medium media sosial, Puan Juliana berjaya menambah pendapatan keluarga dengan lebih baik dan usaha ini akan diteruskan dengan lebih giat pada masa akan datang.

juliana

Antara promosi produk makanan iaitu rojak buah yang telah dipromosikan oleh Puan Juliana menerusi media sosial Facebook.

 

KISAH KEJAYAAN: CIK SAHIDA BINTI WAHID

UMUR: 29 TAHUN

LATAR BELAKANG:

Cik Sahida binti Wahid merupakan seorang beliawanis Felda Lui Selatan yang berusia 29 tahun. Mendapat pendidikan menengah di SMK Lui Barat, beliau kini bekerja sebagai pembantu kedai makan di kawasan perniagaan Felda Lui Selatan 2. Beliau telah mendaftar sebagai ahli PEDI Felda Lui Selatan sejak bulan Januari 2019. Menamatkan persekolahan pada tahun 2007, beliau tidak mempunyai masa untuk mempelajari ilmu asas ICT kerana terus sahaja bekerja sejak tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).    

 

SEBELUM PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi

Pada permulaan, Cik Sahida hanya berkunjung ke Pusat Internet atas urusan fotostat, mencetak dan scanning sahaja. Selepas beberapa kali berurusan, barulah beliau tertarik untuk mempelajari ilmu asas ICT bersama beliawanis Felda Lui Selatan 2. Beliau telah mengikuti bengkel asas ICT setiap hari Jumaat dan mempelajari beberapa modul untuk membina kemahiran penggunaan perkakasan komputer, memasukkan data, melayari internet dan mengikuti aktiviti advokasi anjuran Pusat Internet.

 

SELEPAS PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi:

Cik Sahida telah mempelajari pelbagai modul antaranya penggunaan perisian Microsoft Office Word, Powerpoint, Excel dan Publisher. Selain itu, dalam sesi bengkel aplikasi internet, beliau turut diberikan tunjuk ajar untuk menggunakan laman carian Google, perisian Dashboard Komuniti dan taklimat advokasi.

Setelah empat bulan mengikuti bengkel asas ICT ini, Cik Sahida mendapati banyak ilmu baru yang dipelajari khususnya dalam aspek editing menggunakan perisian Microsoft Office. Beliau sangat teruja mempelajari perisian Microsoft Word, membuat rangka jadual dan pengiraan formula Matematik menggunakan Microsoft Excel dan mencipta kad ucapan dan slide pembentangan menerusi perisian Microsoft Powerpoint. Beliau turut diberikan pendedahan mengenai penggunaan laman carian Google disamping mendengar taklimat advokasi SKMM yang dikendalikan oleh petugas. Sifatnya yang mudah menerima ilmu baru juga menjadikan Cik Sahida boleh menyelesaikan segala tugasan yang diberikan dengan bantuan yang minimum daripada petugas.

SHAHIDA

 

 

KISAH KEJAYAAN: SORYANI BINTI DORRI

UMUR: 53 TAHUN

LATAR BELAKANG:

Puan Soryani binti Dorri adalah ahli berdaftar PEDi Felda Lui Selatan sejak tahun 2014. Beliau kini menyandang jawatan sebagai pengerusi Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda Lui Selatan 1 dan aktif berpersatuan bersama golongan wanita sama ada di peringkat zon Lui mahupun di peringkat gugusan wilayah Felda Raja Alias. Disamping sibuk mengendalikan tugas seharian selaku pengerusi persatuan, Puan Soryani juga aktif dalam perniagaan makanan yang memfokuskan kepada tempahan kek, kuih-muih dan manisan kepada pelanggan.

SEBELUM PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi:

Puan Soryani amat meminati bidang masakan khususnya dalam penghasilan kuih-muih tradisi dan kek. Bagi beliau, memasak merupakan satu terapi dan ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh Puan Soryani untuk menambah pendapatan sampingan. Mengakui faktor peminat kuih-muih dan kek tradisi masih ada serta permintaan menggalakkan mendorong Puan Soryani untuk mengambil tempahan membuat kuih dan kek mengikut permintaan pelanggan. Beliau juga memperoleh rakan dan pelanggan baru menerusi pertandingan masakan yang sering disertai oleh beliau sebelum ini dalam pelbagai acara.

Bagi membantu Puan Soryani mempromosikan produk, petugas PEDi Felda Lui Selatan telah mempelawa beliau untuk menghadiri bengkel kemahiran usahawan dan bengkel asas ICT. Bengkel ini juga disesuaikan dengan jadualnya yang padat di mana ia hanya dikendalikan pada waktu pagi. 

Menerusi bengkel keusahawanan dan asas ICT, Puan Soryani diberikan tunjuk ajar mengenai kemahiran keusahawanan misalnya menggubah bouquet, kelas masakan dan kemahiran pemasaran secara atas talian. Beliau juga diajar mengenai kaedah memuat turun resipi-resipi masakan menggunakan laman carian Google. Sesudah itu, Puan Soryani turut diberikan kesempatan untuk mempelajar asas Microsoft Office Word untuk menyunting imej dan menyalin semula resipi untuk dicetak

SELEPAS PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi:

Hasil daripada bengkel usahawan dan asas ICT yang disertai, Puan Soryani semakin mahir menggunakan peralatan komputer dan mengetahui fungsi asas perisian Microsoft Office seperti editing. Beliau juga mahir mencari imej resipi masakan yang dikehendaki di internet. Tambahan pula, promosi produk kuih-muih dan kek turut dilakukan menerusi media sosial Facebook dan Whatsapp. 

Sebelum ini, Puan Soryani menerima pendapatan sekitar RM250 sebulan. Dengan lonjakan usaha hasil daripada pembelajaran di Pusat Internet, Puan Soryani mampu menjana pendapatan sekitar RM1000 sebulan bergantung kepada permintaan pelanggannya. Banyak kejayaan positif yang bakal dilakar oleh Puan Soryani sekiranya usaha ini berterusan bagi menarik pelanggan baru kelak.

soryani

Antara kek yang ditempah oleh pelanggan Puan Soryani. Kuih-muih tradisi juga menjadi pilihan pelanggan untuk sebarang majlis.

 

KISAH KEJAYAAN: PUAN NOOR FADILLAH BINTI ISHAK

UMUR: 32 TAHUN

LATAR BELAKANG:

Puan Noor Fadillah binti Ishak merupakan salah seorang ahli berdaftar PEDi Felda Lui Selatan sejak bulan Ogos 2018. Puan Fadillah merupakan seorang suri rumah sepenuh masa dan ibu kepada 3 orang cahaya mata. Meskipun tidak bekerja, Puan Fadillah tidak melepaskan peluang untuk berniaga secara kecil-kecilan. Sementelah anak sulungnya, Dania Natasya menghidap penyakit morbid obesity, Puan Fadillah merasakan beliau perlu mencari alternatif untuk berniaga bagi menampung kos rawatan anaknya

 

SEBELUM PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi:

Menyedari kos hidup yang semakin meningkat, Puan Fadillah tekad untuk menambah pendapatan keluarga dengan mencuba bidang perniagaan makanan ringan dan kudapan seperti popia berperisa dan kudapan kacang. Pada mulanya, beliau hanya bermula secara kecil-kecilan dengan pelanggan terdiri daripada jiran sesama blok. Oleh itu, bagi meluaskan lagi pasaran, beliau meminta petugas PEDiFelda Lui Selatan untuk memberi tunjuk ajar cara-cara memasarkan perniagaan makanan ringan dan produk kesihatan menerusi laman sosial Facebook, Whatsapp dan MyShop Dashboard Komuniti.

Bermula dengan mempelajari cara untuk memuat naik posting produk di Facebook peribadi, beliau kemudiannya diberikan tunjuk ajar untuk mengambil gambar produk menerusi video yang ditonton di Youtube. Selain itu, Puan Fadillah juga diberikan tunjuk ajar untuk memuatnaik produk ke dalam aplikasi MyShop Dashboard Komuniti untuk menambah bilangan pelanggan dari masa ke semasa. Beliau turut menyertai bengkel asas ICT dan mempelajari modul asas perisian komputer seperti Microsoft Office, emel dan pengenalan asas kepada internet.

 

SELEPAS PENGGUNAAN ICT/PENGLIBATAN PEDi:

Selepas empat bulan mengikuti bengkel keusahawanan anjuran PEDi Felda Lui Selatan, Puan Fadillah memberi respon, perniagaannya semakin mendapat permintaan daripada pelanggan. Ini dibuktikan dengan jualan kudapan beliau mencecah sehingga 300 pesanan secara purata setiap bulan.

Sebelum ini, Puan Fadillah hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM200 sebulan. Setelah mengikuti bengkel keusahawanan di PI Felda Lui Selatan, beliau berjaya meraih pendapatan sebanyak RM1000 dan perlu menambah stok makanan ringan untuk menampung permintaan pelanggan.

fadilah ishak

Promosi makanan ringan dan kudapan yang telah dilakukan oleh Puan Fadillah menerusi media sosial Facebook